Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

RM155.9 juta pinjaman pelajaran sejak 2008

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sejumlah RM155.9 juta diluluskan Kerajaan Negeri sebagai pinjaman pelajaran kepada 9,117 pelajar, sejak 2008.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, RM11.3 juta daripada jumlah itu juga ditukar kepada bentuk biasiswa.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menambah peruntukan menerusi pelbagai program, sejak 2014.

“Ia termasuk bantuan sara diri pelajar, program Biasiswa Selangorku, Biasiswa Sagong Tasi, Peduli Siswa kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor dan Peduli Siswa kepada pelajar negeri ini yang belajar di Timur Tengah serta Brain Bank iaitu biasiswa kepada pelajar peringkat PHD di universiti terkemuka luar negara.

“Jadi, kita memang sudah tingkatkan peruntukan pendidikan dan sentiasa peka dengan keadaan semasa serta bersedia melihat kemampuan Kerajaan Negeri untuk sebarang penambahan, pada masa hadapan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), baru-baru ini.

nik-nazmi-dunBeliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Dr Halimah Ali berhubung pinjaman pendidikan.

Nik Nazmi berkata, pertukaran bentuk pinjaman kepada biasiswa bergantung kepada pencapaian pelajar dan terbuka kepada semua yang menerima pinjaman.

“Untuk pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (Cumulative Grade Point Average-CGPA) sekurang-kurangnya 3.25, maka mereka layak menerima separa biasiswa.

“Untuk pelajar dengan CGPA 3.75 pula mereka layak menerima pertukaran kepada biasiswa penuh. Tiada pengecualian, semua pelajar yang menerima pinjaman Kerajaan Negeri layak untuk ditukar kepada biasiswa penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada ADN Permatang, Dato’ Sulaiman Abdul Razak berhubung syarat untuk mendapatkan biasiswa penuh.