Categories
SUKANKINI

‘Sukan Untuk Semua’ kembali, sasar 8,000 penyertaan

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) akan meneruskan program ‘Sukan Untuk Semua’ dengan menyasarkan 8,000 penyertaan menerusi lapan acara.

Ketua Pegawai Operasi Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin berkata, program di bawah Rangsangan Sukan Selangor (RSS) 2017 itu diterima baik sebelum ini dengan peningkatan peserta antara 10 hingga 15 peratus sejak 2014.

Katanya, program kali ini memberi tumpuan terhadap golongan terpinggir antaranya Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, anak yatim dan pelajar orang asal di seluruh Selangor.

“Bagi melaksakan program itu, Perangsang Selangor melantik lapan penyedia latihan iaitu J World Sports, JAB Bowling Academy, Kelab Skuasy Elit Astaka, Supersharkz Swim School, Munro Sports, Clever Speda, Kelab Masyarakat Bola Rotan dan Kelab Memanah Alpha Brothers membabitkan tajaan RM1.37 juta.

“Jenis sukan dipertandingkan ialah badminton, boling, skuasy, renang, bola sepak, basikal, sepak takraw dan memanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian bersama pengendali dan pelaksana program, baru-baru ini.

BN5A4835Pada masa sama, Suzila berkata, program itu bertujuan memupuk budaya bersukan dalam kalangan masyarakat dan menggalakkan gaya hidup sihat.

Katanya, ia turut menanam minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari sukan.

“Program ini berjaya menarik 13,873 penyertaan daripada pelbagai golongan menerusi 105 program dilaksanakan di seluruh negeri, sejak 2014.

“Jumlah itu termasuk penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor untuk pelajar bawah 12 tahun dan Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari bagi pelajar bawah 18 tahun”, katanya.

Sehingga kini, Perangsang Selangor membelanjakan RM5.05 juta khusus untuk RSS termasuk program pembangunan sukan, pasukan elit dan ‘Sukan Untuk Semua’.