Categories
SELANGOR

Tiada penyelewengan dana Marris

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail menafikan wujudnya penyelewengan kewangan membabitkan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) bagi tujuan pembaikan fasiliti dewan di bawah DUN itu.

Sebaliknya, beliau berkata, wujud salah faham berkaitan projek infrastruktur berkenaan berhubung kesilapan pemasangan papan tanda daripada syarikat kontraktor, F.E Faeli Engineering.

“Ia berpunca daripada kesilapan kontraktor yang memasang papan tanda dengan logo Marris, sepatutnya projek berkenaan perlu diletakkan secara bertulis bahawa ianya projek Kerajaan Negeri.

“Saya tidak menyangka isu ini dipolitikkan juga kerana saya percaya permainan politik begini memang menjadi minat bagi Umno Barisan Nasional.

Dana MARRIS“Saya cuma ingin nasihatkan, kalau ingin mengeluarkan sebarang kenyataan, tolong siasat terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan melulu,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor (DNS), petang ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan mendakwa kononnya berlaku penyelewengan dana berkenaan yang melanggar peruntukan Perkara 109 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendedahkan, fasiliti pembangunan dewan di DUN Batu Tiga melanggar garis panduan penggunaan wang Marris sebagaimana ditetapkan Perlembagaan.

Sementara itu, Rodziah menegaskan kontraktor bertangungjawab perlu membuat permohonan maaf berhubung kesilapan itu.

“Saya sudah arahkan supaya permohonan maaf dibuat bagi membersihkan imej Kerajaan Negeri dengan jaminan perkara sama tidak berulang,” katanya.

=EZY=