Categories
GLOBAL

AS hantar beribu-ribu tentera tambahan ke Afghanistan

GLOBAL 23 OGOS: Presiden Donald Trump meluluskan penghantaran beribu-ribu askar tambahan Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan sekali gus melanggar janji beliau untuk menamatkan penglibatan Washington di negara bergolak itu.

Dalam ucapan rasmi sebagai komander tertinggi tentera AS, Trump menarik balik kritikan bahawa perang 16 tahun di Afghanistan merupakan pembaziran masa dan wang, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Naluri saya adalah berundur dari Afghanistan tetapi persepsi saya berubah apabila menduduki White House,” kata Trump semasa meluahkan kekecewaan berhubung perang tersebut yang mengakibatkan ribuan askar AS terbunuh dan negara kerugian berbilion-bilion dolar.

Namun, selepas membuat pertimbangan selama beberapa bulan, Trump berkata, beliau tidak akan membiarkan kumpulan militan termasuk Taliban bermaharajalela di Afghanistan ekoran ketiadaan tentera AS.

Trump juga enggan mendedahkan bilangan askar yang akan dihantar tetapi beberapa pegawai kanan White House memberitahu, beliau telah meluluskan penghantaran seramai 3,900 askar ke Afghanistan.

Trump juga memberi amaran bahawa tentera AS bukan dihantar untuk melaksanakan sistem demokrasi berdasarkan acuan Washington.

“Kami bukan mahu membina semula Afghanistan. Kami mahu membunuh pengganas,” katanya.

Dalam pada itu, kumpulan Taliban berjanji akan menjadikan Afghanistan sebagai perkuburan askar AS dan akan meneruskan jihad selagi tentera AS berada di negara itu.

“Sekiranya AS tidak mengundurkan askarnya dari Afghanistan, negara ini akan menjadi tanah perkuburan untuk kuasa besar tersebut,” kata jurucakap Taliban di Afghanistan, Zabiullah Mujahid.

=EZY=