Categories
GLOBAL

Lebih 850,000 pelarian di Turki terima bantuan kad debit

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 6 OGOS: Lebih 850,000 pelarian bakal menerima kad debit khas pada Ogos yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah dan dilaksanakan oleh Bulan Sabit Merah Turki, menurut Pejabat Bantuan Kemanusiaan Suruhanjaya Eropah (ECHO) di Turki.

Agensi Berita Turki ANADOLU AGENCY melaporkan Ketua ECHO Jane Lewis berkata, sasarannya adalah untuk memberikan kemudahan itu kepada lebih satu juta pelarian pada September.

“Pada bulan ini, lebih 850,000 pelarian di bawah perlindungan sementara antarabangsa akan menerima kad dan menerima pemindahan bulanan,” kata Lewis.

“Kami berharap pada bulan September, kami akan mempunyai sejuta orang di bawah program ini.

“Bagaimanapun, sasaran sebenar ialah 1.314 juta, bergantung kepada siapa yang layak menerima kad tersebut,” kata Lewis.

REFUGEELewis juga berkata pembayaran bulanan untuk setiap pelarian, yang tinggal di luar kem pelarian dan didaftarkan oleh pengarah pejabat migrasi serantau dinaikkan daripada 100 liras Turki hingga 120 liras Turki sebulan.

Bekerjasama dengan pejabat Turki dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Suruhanjaya Bantuan Kemanusiaan EU melancarkan program untuk membendung aliran migran dan membantu hampir tiga juta pelarian Turki, yang kebanyakannya adalah orang Syria.

Turki menjadi tuan rumah lebih banyak pelarian Syria daripada negara lain di dunia. Negara itu telah membelanjakan kira-kira $25 bilion membantu dan melindungi pelarian sejak permulaan perang saudara Syria.

Kad debit itu membolehkan pelarian membuat transaksi menggunakan mesin kad debit Turki Halkbank dan mengeluarkan wang dari ATM.

Syria terkepung dalam perang saudara yang dahsyat sejak awal 2011,
sejak itu, beratus-ratus ribu orang dipercayai terbunuh dan berjuta-juta rakyat lagi kehilangan tempat tinggal disebabkan konflik itu.

=EZY=