Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: IKEA buat pilihan tepat melabur di Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebentar tadi menerusi Twitter berkongsi berita gembira pelaburan besar gedung gergasi dunia IKEA ke Selangor.

Beliau mengetuai delegasi Kerajaan Negeri ke Pejabat Korporat IKEA di Basel bagi menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P) antara IKEA dan Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB).

Katanya, IKEA bakal mendirikan gudang penyimpanan dan pengagihan produknya untuk pasaran Asia Pasifik di Pulau Indah berkapasiti enam kali lebih besar dari IKEA Basel itu sendiri iaitu mampu memuatkan 230,000 palet berbanding 48,000 palet.

MB IKEA (2)“Pemeteraian hari ini kemuncak kerja keras dan usaha berterusan dua belah pihak. Kepada IKEA, terima kasih kerana membuat pilihan tepat,” katanya menerusi Twitter.

Mohamed Azmin berkata, IKEA sentiasa menonjolkan aspek penting yang sangat dikagumi dan patut dicontohi seperti dasar serta polisi hijau yang mampan juga penggunaan bahan mesra alam menerusi proses fabrikasinya.

Katanya, kerjasama itu juga bakal membawa manfaat besar kepada Selangor daripada segi Pelaburan Asing Langsung (FDI), peluang pekerjaan seterusnya memacu pertumbuhan industri pesat.

“IKEA juga kini bergerak ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan penjimatan kuasa. Sementara mengalukan FDI, kita juga mahukan nilai, maka tak disangkal lagi bahawa ini adalah pelaburan mega, di Selangor.

“Ini adalah permulaan sangat baik dan marilah bersama raikan tahun mendatang dengan kejayaan bakal dikecapi menerusi ikatan ini,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, Mohamed Azmin mengumumkan delegasinya berlepas ke Eropah bagi memeterai perjanjian persefahaman pelaburan bernilai lebih RM2 bilion.

Pada 24 Ogos lalu, beliau berlepas ke Eropah disertai pegawai tertinggi Kerajaan Negeri seperti Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman dan Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim.

Difahamkan, CSSB bakal mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelaburan berkenaan selewat-lewatnya, esok.