Categories
AGAMA SELANGOR

103 terima tauliah mengajar agama Islam dari JAIS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 OGOS: Seramai 103 tenaga pengajar agama Islam di Selangor menerima tauliah mengajar daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini.

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah JAIS, Suliani Ibrahim berkata, semua peserta menerima tauliah itu adalah mereka yang lulus dalam ujian dan prosedur ditetapkan JAIS serta berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Setiap peserta perlu melalui beberapa proses ujian ditetapkan dan majlis kali pertama ini diadakan adalah antara penambahbaikan dilakukan serta sebagai penghargaan kepada mereka yang layak.

“Mereka boleh menyampaikan ceramah, mengadakan kelas agama dan pembelajaran al-Quran seperti ditetapkan JAIS selagi tidak bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya kepada SelangorKini.

TAULIAH JAIS (1)Mufli Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid menyampaikan kad tauliah kepada semua peserta dalam Majlis Penyampaian Kad Tauliah Mengajar Selangor di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Suliani berkata, Bahagian Dakwah JAIS merancang mengadakan sekurang-kurangnya satu lagi majlis penyampaian kad tauliah, pada tahun ini.

“Kita menjangkakan akan mengadakan satu atau dua lagi majlis sama, pada tahun ini. Kita akan berusaha mengadakan sekurang-kurangnya satu majlis dengan disertai lebih kurang 100 peserta,” katanya.