Categories
SUKANKINI

Orang asal, anak yatim sertai Klinik Badminton Perangsang Selangor

PETALING JAYA, 3 OGOS: Seramai 100 pelajar orang asal dan anak yatim mengikuti klinik badminton Sukan Untuk Semua anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) di Champion Arena, Kayu Ara, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, program itu memberi peluang kepada masyarakat terutama golongan terpinggir mempelajari ilmu dan menggalakkan mereka menceburi bidang sukan.

Katanya, penyertaan membabitkan pelajar berusia 11 hingga 14 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Melut dan SK Bukit Tampoi dari daerah Sepang, SK Bukit Lanjan, Petaling Jaya serta Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Gombak.

“Perangsang Selangor melantik J World Sports untuk melaksanakan lapan program seumpamanya, pada tahun ini dengan menyasarkan penglibatan 750 peserta.

“Siri pertama bermula pada Mei lalu dengan 46 peserta dari National Autism Society of Malaysia mengikuti program kendalian bekas pemain badminton kebangsaan, Jason Wong,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Yusof Noordin berkata, pihaknya bersyukur dengan keprihatinan Perangsang Selangor terhadap nasib anak yatim di rumah itu.

“Selain berpeluang bermain di gelanggang yang serba lengkap, mereka juga dapat mempelajari kemahiran asas badminton daripada jurulatih profesional serta menjalani gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan,” katanya.

Program ‘Sukan Untuk Semua’ adalah sebahagian daripada program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat Perangsang Selangor.

Ia membabitkan lapan jenis sukan iaitu badminton, boling, renang, berbasikal, bola sepak, skuasy, sepak takraw dan memanah dengan perbelanjaan RM1.45 juta bagi 2017.

Jumlah keseluruhan dana yang sudah dibelanjakan menerusi RSS dari 2011 hingga kini adalah RM5.1 juta.

PERANGSANG (1) PERANGSANG (2)