Categories
NASIONAL

MET: Cuaca baik dilaporkan di Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Cuaca baik sepanjang hari dilaporkan di kebanyakan daerah di negeri ini sehingga Khamis (28 September).

Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan cuaca dalam tempoh seminggu itu dijangkakan tiada hujan.

Keadaan itu dilaporkan pada sebelah pagi, petang dan malam.

Ia termasuk di daerah yang dilaporkan berisiko tinggi bagi fenomena air pasang besar iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang dan Sepang.

Terdahulu, Unit Pengurusan Bencana Selangor meminta penduduk yang mendiami 15 kawasan berisiko dinaiki air ekoran fenomena air pasang besar berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Terdapat lima kawasan di Klang berisiko banjir ekoran fenomena itu membabitkan Pengkalan Tok Muda, Batu 4 Jalan Kapar, Ban Sementa, Pelabuhan Klang dan Jalan Pandamaran Banting.

Bagi daerah Sabak Bernam membabitkan Tebuk Mendeling, Sungai Air Tawar dan Sungai Panjang.

Empat kawasan di Kuala Selangor adalah Tanjung Karang, Kampung Kuantan, Pantai Remis dan Pekan Sungai Buloh.

Di Sepang membabitkan hanya satu kawasan iaitu Pesisir Pantai Bagan Lalang, manakala di Kuala Langat adalah Pantai Kelanang dan Pesisir Pantai Tanjung Sepat.