Categories
SELANGOR

Misi Jelajah London #kapcaipackers selesai

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Pasangan #kapcaipackers, Mohd Alfifshahrin Zakaria, 31, dan Diana Latief, 30, berjaya menamatkan misi menjelajah ke kota London dengan hanya menunggang kapcai.

Hajat mereka untuk menyambut Hari Kebangsaan di London juga akhirnya tercapai apabila tiba di hadapan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di kota raya itu, semalam.

“Alhamdulillah. Sudah sampai di pejabat kedutaan (pesuruhjaya tinggi) setelah menempuh perjalanan selama 146 hari,” katanya menerusi Facebook.

Melalui video berdurasi kira-kira dua minit itu, mereka dilihat disambut beberapa pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London yang memberikan ucapan tahniah.

Pasangan suami isteri itu sebelum ini dilaporkan berhasrat mengibarkan Jalur Gemilang di London sebagai mengingati kemerdekaan Malaysia diperoleh hasil pemeteraian perjanjian di kota raya berkenaan.

Pasangan itu menjelajah 23 negara dengan sebuah motosikal berenjin 150cc melalui program inspirasi Anak Muda Bebas Dadah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Selangor, sejak 8 April lalu.

Mereka yang mendapat sokongan daripada beberapa syarikat permotoran antarabangsa seperti GIVI Malaysia, STT SPROCKET dan MYBIKERZ, membelanjakan hampir RM40,000 untuk mencapai misi terbabit.

Pada 2015, Mohd Alfishahrin menunggang secara solo ke 1000 Corner di Chiang Mai, Thailand dan ini diikuti dengan misi solo ke tujuh sempadan negara iaitu Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam, Kemboja dan Singapura, pada 2016.