Categories
GLOBAL NASIONAL

Thailand rampas 136 ekor tenggiling cuba diseludup

BANGKOK, 1 SEPT: Pegawai Kastam Thailand merampas 136 ekor tenggiling dan 450 kilogram (kg) sisik haiwan itu yang ingin dihantar ke Laos dan China, kata pemangku pengarah Bahagian Rampasan Barang, Vorachit Deachborvornlak.

Katanya, mereka mengesyaki tenggiling dan sisik haiwan yang bernilai tinggi itu berasal dari Indonesia dan diseludup ke Thailand dari Malaysia.

“Kami percaya tenggiling itu berasal dari Indonesia sebelum diseludup ke Malaysia dan Thailand untuk dihantar ke Laos serta China sebagai destinasi terakhir,” katanya, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, kastam menerima maklumat berkenaan percubaan menyeludup hidupan liar dan mengesan dua trak pikup yang sarat dengan muatan tenggiling dipandu dua lelaki rakyat tempatan di Prachuabkhirikhan, kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan, hari ini.

Deachborornlak berkata, kedua lelaki itu sempat melarikan diri di tengah kegelapan semasa pegawai memeriksa trak terbabit, namun yakin mereka akan menangkap suspek tidak lama lagi kerana mempunyai butir peribadi dan alamat rumah.

“Dalam trak itu, pegawai menemukan 136 tenggiling yang masih hidup tetapi lima ekor daripada haiwan berkenaan mati kemudian dan 450 kg sisik tenggiling,” katanya.

Katanya, harga sekilogram sisik tenggiling boleh mencecah kira-kira 10,000 Baht (kira-kira RM1,250) dan apabila sampai di China, haiwan hidup itu akan dijual kepada pemilik restoran yang menyajikan makanan eksotik.

Beliau berkata, tahun ini, jabatannya berjaya merampas 2.9 tan tenggiling dan sisik haiwan itu yang dicari pembeli ekoran harganya yang tinggi.