Categories
GLOBAL NASIONAL

Wujud zon selamat untuk Rohingya

NEW YORK, 22 SEPT: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mencadangkan pembentukan zon selamat di Myanmar untuk melindungi etnik Rohingya menerusi pemantauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bercakap pada sesi ke-72 Perhimpunan Agung PBB, beliau berkata, etnik itu mesti dibenarkan kembali ke negara mereka dengan selamat dan bermaruah.

“Myanmar perlu menghentikan keganasan dan amalan pembersihan etnik, bersetuju membenarkan misi PBB, memastikan kepulangan pelarian dan mematuhi laporan yang mencadangkan kerakyatan kepada Rohingya,” katanya lapor AFP.

Hasina sebelum itu membentangkan pelan lima cara untuk melindungi Rohingya dalam ‘zon selamat yang akan diwujudkan di Myanmar di bawah pemantauan PBB’.

Beliau turut mendakwa pihak berkuasa Myanmar menanam periuk api di sempadan untuk mengelakkan etnik Rohingya kembali ke negara terbabit selain menggesa PBB mengambil langkah segera mencari penyelesaian.

Menurut PBB, lebih 420,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh untuk mencari perlindungan daripada keganasan tentera Myanmar di Rakhine.

Operasi tentera itu didakwa susulan serangan militan Rohingya ke atas pos polis, pada 25 Ogos lalu.

PBB menggambarkan operasi tentera sebagai ‘pembersihan etnik’ dan Presiden Perancis, Emmanuel Marcon, pula menyifatkan ia sebagai genosid (penghapusan bangsa).