Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

ACEBASS bakal jadi acara tahunan UNISEL

OLEH AFEEQA AFEERA

PADANG, 14 OKT: Persidangan Tahunan Ekonomi, Perniagaan, Perakaunan dan Sains Sosial (ACEBASS) bakal dijadikan acara tahunan untuk merapatkan jurang empat bidang terbabit.

Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL, Profesor Dr Shaharudin Badaruddin berkata, hal itu kerana bidang terbabit masih ketinggalan dalam memenuhi industri yang semakin mencabar, hari ini.

“Kita mahu hidupkan semula terutama bidang sosial sains antara kedua wilayah iaitu Selangor dan Sumatera Barat menerusi UNISEL juga Universitas Dharma Andalas.

“Ini antara percubaan pertama dilakukan dan jika ingin diteruskan, ACEBASS akan dijalankan di UNISEL supaya hubungan antara Padang atau wilayah Sumatera Barat dengan Selangor akan terus terjalin,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas cabaran berdepan permintaan industri revolusi 4.0 yang semakin berkembang, beliau berkata, pelbagai pendekatan dilakukan antaranya program Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai persediaan terutama dalam kalangan mahasiswa di Selangor.

Dr Shaharudin berkata, ia bukan hanya dilakukan dari aspek kokurikulum tetapi turut membabitkan ‘soft skill’ terutama di bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

“Selain itu, kita menekankan dari sudut kepimpinan, kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan terbaru dalam bidang keusahawanan yang kini semakin menggalakkan.

“Perkara ini membantu mempertingkatkan kemahiran bukan sahaja dalam industri tetapi termasuk ‘soft skill’ berdepan masyarakat,” katanya.

Dalam Belanjawan 2017 lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memperuntukkan RM5 juta untuk program TVET bagi memperkasa pendidikan vokasional yang akan membekalkan tenaga mahir kepada industri.