Categories
NASIONAL

Anak muda pencatur utama perubahan negara

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 14 OKT: Anak muda yang layak untuk mengundi digesa untuk mendaftar supaya dapat menyertai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, anak muda tidak boleh mencari alasan untuk mendaftar kerana pilihan raya kali ini merupakan peluang terbaik untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Pada PRU-14, saya percaya kita mempunyai peluang terbaik dalam negara untuk menang.

“Jangan cari alasan, pergilah mendaftar suapaya BN dapat dinyahkan daripada Putrajaya. Peranan anak muda sangat besar,” katanya.

Katanya, barisan kepimpinan yang ditunjangi Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu merupakan gandingan terbaik untuk memimpin kemenangan.

Katanya, anak muda kini penentu masa depan negara kerana mereka kini berhadapan situasi gaji rendah serta sukar memperoleh pekerjaan.

Timbalan Ketua Pemuda, Syed Saddiq Abdul Rahman dalam ucapannya mengagumi kehadiran ‘gelombang merah’ sebagai tanda sokongan kepada Himpunan Rakyat Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi.

“Gelombang merah baru, bukan (Datuk) Jamal Yunus tapi rakyat Malaysia yang mahu membersihkan negara dari najis rasuah.

“Ingatlah, kemenangan bukan terletak ditangan pemimpin diatas tetapi kuasa di tangan tuan-tuan,” katanya.

Sementara Naib Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Faiz Fadzil pula dalam ucapannya menyeru rakyat supaya bangkit menentang kleptokrasi.

=EZY=