Categories
NASIONAL

Hutang negara cecah RM1 trilion menjelang 2020?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 OKT: Hutang negara dijangka akan mencecah RM1 trilion menjelang 2020, kata bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yakob.

Beliau berkata, antara faktor yang mendorong perkara itu ialah apabila kerajaan gagal mengurangkan defisit dalam belanjawan tahunan dan pertambahan hutang luar negara, termasuk membabitkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Kerajaan Persekutuan masih dilihat boros, bajet kekal defisit hampir 20 tahun, malah semakin membesar.

“Manakala projek besar kerajaan buat, misalnya ECRL sebenarnya bukanlah dikategorikan sebagai kemasukan pelaburan asing langsung tetapi projek itu dibuat dengan meminjam wang,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, kebanyakkan projek besar negara, pada masa ini bukan dibiayai sumber kewangan dalam negara tetapi sebaliknya membabitkan pinjaman luar negara.

dr_rosli_yaakob_Dr Rosli berkata, hal itu berbeza dengan Kerajaan Selangor yang membentangkan belanjawan secara berhemah, mempunyai rizab kukuh dan berjaya mencapai belanjawan surplus.

Pada Julai lalu, Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan hutang Kerajaan Persekutuan, pada 2016 mencecah RM648.475 bilion atau 54.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding RM630.540 bilion, pada 2015.

Angka itu membuktikan trend peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan dengan data menunjukkan, pada 2012 hutang negara berjumlah RM501.617 bilion, RM539.858 bilion pada 2013 dan RM582.828 bilion pada 2014.