Categories
EKONOMI SELANGOR

IPR lonjak pendapatan isi rumah di Selangor

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 OKT: Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah, sekali gus mengikis jurang pendapatan dalam kalangan rakyat.

Dekan Selangor Business School, Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, hal itu terbukti apabila pendapatan isi rumah dalam kalangan rakyat, di Selangor mencatatkan pertumbukan positif dan berkembang lebih cepat berbanding di peringkat nasional.

Katanya, Kaum Cina mencatatkan pendapatan isi rumah tertinggi iaitu RM9,290, pada 2016 berbanding RM8,033, pada 2014 diikuti kaum Melayu yang meningkat dari RM5,776 hingga RM6,784 serta kaum India, dari RM5,215 hingga RM6,457.

“Manakala pertambahan pendapatan isi rumah di peringkat nasional untuk kaum Melayu ialah RM4,214 kepada RM4,846, RM5,708 hingga RM6,582 (Cina) dan RM4,627 kepada RM5,428 (India).

“Pendapatan isi rumah keluarga untuk mereka yang menetap di bandar meningkat dari RM6,484 kepada RM7,443, manakala bagi keluarga di luar bandar meningkat dari RM4,003 kepada RM5,119,” katanya yang merujuk kepada statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika forum “Selangor Synergies 1: Economic Outlook for 2018”, di The Saujana Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

IPR diperkenalkan bagi menampung kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dalam suasana ekonomi yang semakin lembab, hari ini.

Pada 10 Oktober lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan purata pendapatan isi rumah di luar bandar Selangor menunjukkan peningkatan mendadak menerusi kadar pertumbuhan 12.3 peratus dalam tempoh dua tahun sehingga 2016.

Sementara itu, purata pendapatan isi rumah di bandar pula bertumbuh 6.9 peratus setahun.

Untuk keseluruhan, purata pendapatan di Selangor mencatat pertumbuhan 7.5 peratus setahun dari RM6,214, pada 2014 kepada RM7,225, pada 2016.