Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM siap siaga hadapi sampah haram

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OKT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) sedang meneliti kaedah terbaik membendung aktiviti pembuangan sampah haram yang menjejaskan kerja pembersihan awam.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, ia termasuk cadangan meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) dan penyiasat yang beroperasi 24 jam di kawasan berpotensi.

Katanya, kerjasama penduduk juga perlu dipererat bagi memudahkan penyampaian info dan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Kita dapati pembuangan haram ini kebiasaannya dilakukan di kawasan hulu dan jauh daripada perbandaran serta dilakukan, pada awal pagi untuk mengelak dikesan.

“Jadi, kita perlu memikirkan cara pemantauan 24 jam untuk menangkap mereka yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas laporan Buletin Utama berhubung pembuangan sampah haram di kawasan Bandar Armada Putra, Pulau Indah baru-baru ini.

Untuk rekod, KDEBWM sudah mengambil alih 100 peratus pengurusan sisa pepejal dan 80 peratus pembersihan awam di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK), setakat ini

Ramli berkata, Bandar Armada Putra bagaimanapun tidak termasuk dalam kawasan seliaan bagi kerja pembersihan awam KDEWBWM dan masih di bawah tanggungjawab kontraktor lantikan MPK.

Katanya, pihaknya hanya akan mengambil alih baki kawasan termasuk Bandar Armada Putra pada 1 Mac 2018, menjadikan syarikat itu bertanggungjawab 100 peratus ke atas pembersihan awam di seluruh Klang.

“Bagaimanapun, kita sudah meneliti kawasan ini dan mendapati aktiviti pembuangan sampah haram ini kerap berulang.

“Jadi, KDEBWM harus mempersiapkan diri dan meneliti kaedah efektif untuk membendungnya,” katanya.