Categories
SELANGOR

MB: Saya bangga pencapaian usahawan kaum India

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 OKT: Kesungguhan yang dipamerkan usahawan India Selangor yang mahu meningkatkan taraf kehidupan mereka nyata menggembirakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang sebelum ini mengumumkan RM1 juta bagi program memberdaya usahawan kaum India untuk tahun 2017 bersedia mengumumkan satu jumlah besar dalam pembentangan Belanjawan 2018, pada 3 November ini.

“Saya sudah katakan, bangga dengan pencapaian program ini. Maka, Jumaat ini (3 November), saya akan umumkan program ini akan mendapat dana lebih besar.

“Berapa? Tunggu hari Jumaat. Pagi itu saya bangun dan mendapat ilham mungkin kekal RM1 juta, mungkin naik RM2 juta. Mungkin, kita tunggu dan lihat.

“Tetapi apabila saya bercakap, saya tunaikan. Itu (Mohamed) Azmin Ali,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Usahawan India Negeri Selangor 2017 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Katanya, Selangor menyediakan peluang untuk mengembangkan perniagaan buat semua kaum menerusi pinjaman HIJRAH Selangor.

Setakat ini, Kerajaan Negeri menerusi HIJRAH Selangor sudah memperuntukkan RM300 juta bagi membiayai 45,000 peniaga kecil di Selangor dan lebih 65 peratus penerima adalah peniaga wanita dengan pemberian modal tanpa faedah dari RM1,000 hingga RM50,000.

Tegasnya, belia kaum India wajar diberikan latihan inovasi kreatif yang kini semakin rancak dibangunkan termasuk perniagaan dalam talian tanpa dipinggirkan.

Selain itu, berdasarkan statistik terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor berjaya menurunkan kadar kemiskinan dari 0.2 peratus pada 2015 kepada 0 peratus (2016).

Masyarakat India memberikan prestasi terbaik dengan peningkatan pendapatan isi rumah sebanyak 10.7 peratus berbanding lapan peratus Bumiputera dan 7.3 peratus kaum Cina.