Categories
SELANGOR

OKU digalak mohon Skim HIJRAH, lonjak perniagaan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 OKT: Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) digalakkan untuk menyertai Skim Mikrokredit Kerajaan Negeri, Hijrah Selangor (HIJRAH) bagi melebarkan pendapatan mereka menerusi bidang perniagaan.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, usahawan OKU boleh membuat pinjaman sehingga RM50,000 untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, ia seterusnya mampu meningkatkan kualiti ekonomi mereka dan keluarga.

“Kerajaan Negeri mahu golongan ini mendapat peluang dan akses sama rata dalam mencari pekerjaan mahupun peluang berniaga melalui aktiviti pemberdayaan ekonomi.

“Jadi, kita amat menggalakkan mereka untuk menyertai HIJRAH dan bersedia membimbing serta sama-sama membantu mereka meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Setakat September, seramai 34,725 orang peserta HIJRAH menerima manfaat dan bantuan HIJRAH dengan peruntukan melebihi RM270 juta.

Untuk rekod, seramai 68,855 OKU berdaftar di Selangor namun hanya 9,037 bekerja dan menerima elaun pekerja cacat RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, bersamaan 13 peratus.

Daroyah berkata, angka itu menunjukkan masih ramai OKU yang belum bekerja atau tidak mampu untuk bekerja.

“Mereka harus dibantu melalui sesi rawatan terapi dan latihan vokasional berkaitan.

“Kita juga mahu melengkapkan OKU yang mampu bekerja ini untuk memiliki kemahiran bersesuaian bagi membolehkan mereka bekerja ataupun melakukan aktiviti keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Pemerkasaan Ekonomi Orang Kelainan Upaya Selangor berkenaan di SACC Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Mohammad Hanafi Maulud dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate, Fakruz Razi Ab Ghani.

=EZY=