Categories
SELANGOR

Banjir Pulau Pinang: Terharu Kerajaan Selangor prihatin nasib mangsa

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

PULAU PINANG, 6 NOV: Penduduk Permatang Rawa melahirkan rasa syukur atas bantuan yang disalurkan Kerajaan Selangor yang diketuai Pertubuhan Bantuan Misi Kemanusiaan Selangor (PANTAS), hari ini.

Kerja pembersihan di kediaman mangsa banjir serta surau juga kelas agama bermula, sejak jam 9.30 pagi.

Ia dijayakan 70 anggota PANTAS, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Armada Selangor yang tiba di negeri itu, semalam.

Penduduk, Zaharah Awang, 62, berkata rumahnya dinaiki air sejak petang 4 November selepas hujan lebat berterusan hingga memaksa beliau berpindah ke rumah anak, di Jalan Baru, di sini.

“Air naik paras pinggang di bahagian dapur. Ini yang paling teruk berlaku, sejak 50 tahun hingga menyebabkan saya dan keluarga terpaksa berpindah sementara.

“Hari ini, saya sangat bersyukur kerana Kerajaan Selangor sudi menggerakkan sukarelawan untuk membersihkan rumah mangsa banjir, di sini.

“Memang saya tak jangka, ada yang sudi bantu sepantas ini. Ia sedikit sebanyak melegakan saya dan keluarga kerana banyak peralatan rumah musnah,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Azizah Hashim, 61, menyifatkan bantuan yang disalurkan membantu dirinya yang turut terkesan ekoran banjir besar itu.

“Memang banyak yang rosak. Peti sejuk juga terkena litar pintas.

“Nasib ada yang datang membantu di kawasan kami. Ramai orang muda, jadi makin cepat urusan pembersihan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah berkata, beliau terus menggerakkan 15 anggota selepas mendapat panggilan daripada AMK untuk misi terbabit.

“Saya fikirkan mangsa yang terkesan dan mengharapkan bantuan. Apa yang diusahakan Kerajaan Selangor sudah terbaik kerana pantas menyalurkan bantuan.

“Kami sebenarnya ada skuad briged aman yang sedang menyiapkan beberapa keperluan di peringkat pusat. Jadi, kami akan beri maklumat kepada mereka berkenaan keadaan semasa, di sini, ” katanya.