Categories
EKONOMI

CEO Amazon terkaya dunia miliki nilai RM411 bilion atasi Bill Gates

SAN FRANCISCO, California 29 NOV: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos menjadi lelaki bernilai AS$100 bilion (RM410 bilion) kelmarin selepas laman runcit itu meraih keuntungan besar daripada jualan runtuh Black Friday hujung minggu lalu.

Senarai orang terkaya dunia dalam masa sebenar oleh majalah Forbes meletakkan Bezos di tangga teratas dengan nilai kekayaan peribadi AS$100.3 bilion (RM411 bilion).

Kekayaan bersih pengasas bersama Microsoft, Bill Gates juga meningkat kepada AS$89.4 bilion (RM366 bilion), namun beliau terpaksa berpuas hati sebagai orang kedua paling di dunia, lapor AFP.

Bezos memiliki hampir 17 peratus pegangan dalam Amazon yang diasaskan olehnya di dalam sebuah garaj di Seattle pada tahun 1994 selepas beliau berhenti daripada kerjaya sebagai pengurus dana untuk menjual buku secara online.

Saham Amazon meningkat hampir satu peratus kelmarin untuk berada pada harga AS$1,200 (RM4,924) sesaham selepas tamat dagangan.

Berdasarkan harga pasaran saham semasa, nilai pasaran bagi Amazon yang berpangkalan di Seattle itu mencecah AS$576.3 bilion (RM2.3 triĀ­lion).

Data firma tinjauan pasaran, Adobe Digital Insights menunjukkan peningkatan beli-belah online jualan Black Friday dan Cyber Monday berjaya mencatat rekod baharu.

Amazon menjual pelbagai produk termasuk buku, filem, permainan, cakera video digital dan perisian komputer secara online.

=EZY=