Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hadiah rumah hargai pencapaian Mohd Ziyad

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 24 NOV: Atlet paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkefli menerima rumah sumbangan Kerajaan Negeri atas pencapaian cemerlangnya dalam Sukan Paralimpik 2016, di Rio, Brazil.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, ia bagi menghargai pengorbanan Mohd Ziyad, 27, pada kejohanan peringkat dunia berkenaan.

“Kerajaan Negeri menunaikan janji menghadiahkan rumah kepada Mohd Ziyad atas pencapaian cemerlangnya dalam Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, tahun lalu.

“Ia selepas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan cek RM150,000 kepadanya dan keluarga tahun lalu sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada Selangor juga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan rumah kepada Mohd Ziyad, di Taman Selayang Mutiara, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pihaknya merancang menjayakan program membabitkan Mohd Ziyad bersama golongan muda, supaya atlet istimewa itu boleh berkongsi pengalamannya dan menjadi inspirasi kepada mereka.

“Ia akan menjadi contoh kepada kita semua kerana atlet seperti beliau dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dianggap berbeza tetapi mampu bertanding ke peringkat dunia, termasuk bersaing dengan atlet normal untuk mencatat kejayaaan,” katanya.

Pada Sukan Paralimpik 2016 lalu, anak kelahiran Selangor itu memperoleh pingat emas dalam acara melontar peluru F20 dengan catatan rekod dunia, 16.84m.

Selain itu, beliau turut mewakili negara dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan mendapat pingat gangsa.