Categories
SELANGOR

Jelajah Infratani berjaya lahir usahawan kompetetif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 11 NOV: Penganjuran Karnival Jelajah Infratani membuka peluang kepada masyarakat awam menerima input berkenaan industri pertanian dan penternakan, di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, penganjuran karnival yang mula dilaksanakan sejak April lalu berjaya melahirkan usahawan tani berdaya saing.

Beliau berkata, usahawan membabitkan belia mendapat banyak pendedahan secara dekat terhadap peluang keusahawanan yang didukung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Antara lain, program ini diadakan sebagai pendekatan mesra pemimpin bertemu penternak juga usahawan Industri Kecil dan Sederhana secara dekat.

“Penganjurannya juga dapat meninjau lokasi infrastruktur untuk melihat permasalahan dan mencari solusi segera bersama agensi Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Infratani Dengkil, pagi ini.

Program perasmian turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Haslin Hassan; Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dengkil, Borhan Aman Shah dan pegawai agensi perikanan, pertanian dan penternakan Selangor.

Penganjuran karnival berkenaan turut menyaksikan lebih 5,000 warga Dengkil hadir memeriahkan program yang berlangsung sejak awal pagi tadi.

Antara pengisiannya adalah pertunjukan pameran pertanian dan penternakan, sesi penerangan daripada jabatan Kerajaan Negeri, persembahan artis dan penganjuran pelbagai pertandingan kepada masyarakat setempat.

Jelajah Infratani adalah lanjutan program turun padang Zaidy selaku Exco Pertanian bagi mendekati petani, penternak dan nelayan khususnya di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Namun, bermula tahun lalu, program itu dikembangkan bagi menyeragamkan kedua portfolionya untuk menyantuni rakyat dengan lebih luas dan berkesan.

Jelajah Infratani bagi tahun ini dimulakan di DUN Kuala Selangor, DUN Sungai Burong, DUN Kuala Langat, DUN Dengkil dan DUN Dusun Tua.