Categories
SELANGOR

Pembakar semangat untuk terus berjaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 24 NOV: Mohd Ziyad Zolkefli menghargai sumbangan rumah daripada Kerajaan Negeri dan ia menjadi dorongan kepadanya untuk terus mencipta kecemerlangan, pada masa hadapan.

Atlet paralimpik negara kelahiran Selangor itu melahirkan rasa terharu dengan penganugerahan terbabit susulan kejayaannya di peringkat antarabangsa, khususnya Sukan Paralimpik 2016 di Rio, Brazil.

“Ia satu kejutan bila mendapat tahu Kerajaan Negeri akan menghadiahkan rumah kepada saya, tahun lalu.

“Bagi saya, ia antara penghargaan terbesar dan menjadi pembakar semangat untuk terus gigih berusaha mencipta kejayaan demi mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan rumah itu, di Taman Selayang Mutiara, di sini, hari ini.

Mohd Ziyad menerimanya daripada Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Hadiah rumah itu adalah sumbangan tambahan Kerajaan Negeri susulan serahan cek RM150,000 oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kepada Mohd Ziyad, tahun lalu.

Mengulas lanjut, katanya, beliau kini sedang giat menjalani latihan untuk menghadapi beberapa kejohanan, khusus bagi atlet kelainan upaya.

“Sekarang saya memang menjalani latihan setiap hari dan antara kejohanan akan disertai ialah Terbuka Dubai dan Para Asia.

“Kalau boleh, saya juga berazam untuk mewakili negara ke Sukan Asia di Jakarta tahun depan,” katanya.

Sukan Asia adalah sukan untuk atlet normal dan Mohd Ziyad membuktikan kebolehan bersaing dalam temasya Sukan Sea Kuala Lumpur lalu dengan memperoleh pingat gangsa menerusi acara lontar peluru.

Mohd Ziyad mencatat kejayaan cemerlang ketika Sukan Paralimpik Rio 2016 dalam lontar peluru F20 dengan meraih pingat emas dan catatan rekod dunia sejauh 16.84m.