Categories
KENYATAAN MEDIA

Anggota KEADILAN fail semakan terhadap kes pindah pengundi di Segamat

Enam pemohon Parti Keadilan Rakyat Segamat telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 21.12.2017 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap SPR Johor dan En.Shafie bin Taib adalah pegawai yang bertanggungjawab bagi pendengaran SPR.

Peguam, YB Sivarasa Rasiah yang mewakili pemohon memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan pendengaran pemindahan pengundi tentera ke Kem Segamat dan Suruhanjaya Pilihan Raya merupakan responden utama.

Enam pemohon itu adalah antara lima puluh orang yang membantah Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendaftar 1051 anggota tentera dan pasangan mereka sebagai pengundi tambahan di parlimen Segamat melalui Rang Daftar Pemilih Tambahan suku ke-3/2017(RDPT).

Pendengaran bantahan telah diadakan pada 6hb Disember 2017 dimana semua pemohon telah membantah terhadap proses kemasukan pengundi tentera kerana lokaliti yang dimasukan adalah Kem Segamat yang masih dalam proses pembinaan, tidak lagi disiapkan dan jelas bahawa Kem tersebut bukan tempat kediaman bagi tentera dan pasangan mereka seperti yang dikehendaki di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon yang juga ahli Keadilan secara khusus telah membantah seramai 102 nama daripada 1051 keseluruhan penggundi tentera (bantahan untuk 949 penggundi tentera Kem Segamat dibuat oleh pembantah wakil dari DAP, Cabang Keadilan Segamat dan juga AMANAH).

Pendengaran SPR penuh dengan penyelewengan seperti berikut:

1. Kem Segamat tersebut masih dalam pembinaan dan tidak siap apabila permohonan untuk mendaftarkan pengundi dibuat. Jadual persiapan adalah pada tahun hadapan sahaja.

2. En. Shafie sebagai pendaftar yang sepatutnya menjadi pihak pengadil dalam bicara pendengaran tetapi beliau telah mempertahankan tentera ketika tentera tidak mengatakan apa-apa untuk mempertahankan diri semasa pendengaran.

3. Saya difahamkan bahawa En.Shafie enggan membenarkan pemohon memeriksa apa-apa dokumen yang dirujuk olehnya yang digunakan untuk mempertahankan petisyen tentera.

4. Ada juga sebilangan pengundi tentera tidak hadir semasa pendengaran. Namun demikian En.Shafie telah membuat keputusannya untuk mengekalkan nama mereka sebagai pengundi tambahan dalam RDPT.

5. Selain itu, saya juga difahamkan bahawa pemohon-pemohon tidak dibenarkan membawa saksi-saksi untuk menyokong kes mereka semasa pendengaran SPR.

6. Pendengaran perbicaraan juga dilakukan secara tertutup tetapi undang-undang menyatakan perdengaran haruslah dibuat sebagai pendengaran awam.

Tujuan utama pihak kami membuat semakan kehakiman kerana keputusan untuk memasukan nama-nama itu ke dalam RDPT adalah tidak mematuhi perlembagaan, kerana ianya telah melanggar Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan.

Maka ianya terdapat kecacatan yang serius, serta kegagalan prosedur dalam pendengaran SPR.

Perbicaraan SPR bercanggah dengan konsep Keadilan alamiah serta melanggar peraturan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pemilihan 2002.

Kemasukan nama-nama pengundi tentera di Kem Segamat yang tidak disiapkan tersebut ke dalam RDPT adalah tidak rasional dan tidak munasabah.

Kita sebagai Rakyat Malaysia berhak mendapat keadilan.

Dato’ Seri Dr Santhara

Penyelaras KEADILAN Segamat,

Pengerusi, Biro Integrasi Nasional

Parti KEADILAN Rakyat