Categories
SELANGOR SENI

Anugerah Sastera Selangor bakal diperluas tahun depan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 DIS: Penganjuran Anugerah Sastera Selangor bakal diperluas bagi memberi pengiktirafan kepada lebih ramai budayawan dan anak seni, pada tahun hadapan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri berhasrat menggabungkan Anugerah Sastera Selangor bersama Anugerah Seni Selangor untuk menghargai golongan yang menghidupkan aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Katanya, ia merangkumi pakej lebih menyeluruh seperti penulisan cerpen, esei, sajak, seni lukis, seni lakon, nyanyian, drama dan teater.

“Sudah sampai masanya kita kumpulkan mereka yang mampan dengan liga mereka sendiri bersama mereka yang masih baru dalam bidang ini.

“Sejak awal lagi, ramai skeptikal dengan usaha ini, namun kita akan belajar dan terus belajar bagi membangunkan aktiviti kebudayaan dan kesenian di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2017 dan Perasmian Black Box@SACC Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengurus Bangunan SACC Mall, Azmir Baharum dan Ketua Pengarang Selangor Kini, Cecelia Alphonsus.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga berharap dapat membina legasi pentadbiran seimbang merangkumi semua aspek kehidupan.

“Tidak cukup hebat lagi Kerajaan Negeri ini jika sekadar bersandarkan kepada keuntungan dan pembangunan fizikal semata-mata.

“Tetapi ia seharusnya diisi dengan pembangunan budaya dan seni, lebih-lebih lagi Selangor disebut sebagai rumah orang seni.

“Maka, kita perlu manfaatkan kelebihan ini untuk mengaktifkan aktiviti ekonomi kreatif yang berpotensi berbanding aktiviti pengeluaran, pengilangan mahupun perkhidmatan,” katanya.

=EZY=