Categories
SELANGOR SUKANKINI

Bengals RC muncul juara berganda

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 DIS: Kelab Ragbi Bengals (Bengals RC) terus mengharumkan nama Selangor apabila muncul juara berganda di Penang 10’s Rugby 2017, di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Presidennya, Abd Rahim Wasik berkata, kelab yang bertapak di Klang itu muncul Juara Kategori Cup menerusi Pasukan Bengals A, manakala Pasukan Bengals B pula menjuarai Kategori Plate.

Katanya, Pasukan Bengals A berjaya memenangi perlawanan akhir Kategori Cup dengan menewaskan Kelab Jobarians dengan kedudukan 28-5.

“Pasukan Bengals A meneruskan penguasaan mereka di peringkat play-off, suku akhir dan separuh akhir juga tanpa bolos.

“Pasukan kendalian Ketua Jurulatih Ismarizal dan dibantu (jurulatih) Khairudin serta Shafei ternyata menunjukkan persembahan sangat mantap dan bertenaga,” katanya.

Bertempat di Padang Polo, Pulau Pinang, Kejohanan Penang 10’s Rugby 2017 meliputi perlawanan peringkat kelab, veteran, bawah 20 Tahun, bawah 16 Tahun dan wanita.

Abd Rahim berkata, Pasukan Bengals A dan Pasukan Bengals B turut menduduki dua tempat teratas dengan memenangi semua perlawanan tanpa bolos, bagi peringkat bawah 16 tahun.

“Untuk kali ini, ekoran kekangan masa, kita hanya dapat menghantar dua pasukan sahaja walaupun ramai pemain Bengals RC yang ingin turut serta menyertai kejohanan.

“Apa sekalipun, kami akan terus komited membantu memperkembangkan sukan ragbi di tanah air serta membantu remaja Klang mengisi masa lapang dengan sukan ragbi,” katanya.