Categories
EKONOMI NASIONAL

Beza kerugian rizab era Tun M, Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Persekutuan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) yang dianggarkan kira-kira AS$39.621 bilion (RM161 bilion), seperti disarankan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Timbalan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob berkata, kerugian itu berbeza dengan kerugian ditanggung BNM sekitar 1991 hingga 1993, ekoran serangan ringgit oleh George Soros.

Katanya, kerugian antara 2013 hingga 2015 pula ekoran kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi negara dengan cekap dan amanah.

“Semasa (era) Tun Mahathir kita memang tahu ringgit berhadapan serangan spekulasi George Soros dan BNM bertindak menyerang balas, jadi kerugian pada 1993 hingga 1994 itu bukan kecurian, pecah amanah atau sengaja dilakukan untuk mencetuskan spekulasi mata wang tetapi tindakan mempertahankan ringgit.

“Kerugian era Najib pula agak lain, pada awalnya ringgit beransur lemah ekoran skandal 1MDB dengan menyaksikan pengaliran keluar wang besar ke luar negara, diikuti keadaan ekonomi semakin tidak memberangsangkan hingga menyebabkan pelabur kurang masuk.

“Apabila itu berlaku, saya percaya BNM cuba mempengaruhi nilai ringgit di pasaran kewangan semasa bagi tujuan mempertahankannya daripada jatuh merudum tetapi ternyata tindakan BNM gagal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dr Rosli berkata, ekoran itu, BNM mengalami dua bentuk kerugian iaitu rizab susut dengan mendadak dan kejatuhan ringgit yang gagal dikekang.

Katanya, hal itu menyebabkan ringgit jatuh antara 37 hingga 40 peratus dalam tempoh itu.

“Maka, saranan Tun Mahathir supaya RCI ditubuhkan adalah tepat supaya rakyat mengetahui keadaan sebenar yang menyebabkan kejatuhan ringgit,” katanya.