Categories
SELANGOR

Istana Selangor sahkan Tun M, isteri serah pingat

KLANG, 12 DIS: Dewan di-Raja Selangor mengesahkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sudah memulang dan menyerahkan kembali darjah serta bintang kebesaran Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, pada 7 Disember lalu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

“Dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa DYMM Sultan Selangor berkenan menerima pemulangan kembali darjah dan bintang kebesaran Selangor itu oleh Tun Dr Mahathir serta Tun Dr Siti Hasmah tanpa halangan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut tindakan mewartakan pembatalan kurniaan darjah dan bintang kebesaran Selangor berkenaan akan dilakukan mengikut prosedur serta proses ditetapkan.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir dan isterinya memulangkan dua pingat diterima daripada Sultan Selangor, termasuk satu daripadanya yang tertinggi di negeri itu.

Keputusan memulangkan pingat kebesaran negeri itu dibuat Tun Dr Mahathir atas pertimbangannya sendiri.

Difahamkan dua pingat yang dikembalikan itu diterima daripada Sultan Selangor, pada 1978 dan 2003.

Pingat yang dikembalikan Tun Dr Siti Hasmah pula ialah anugerah diterimanya daripada Sultan Selangor, pada 1983 dan1994.

Ia membabitkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.