Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pentadbiran Selangor ada kelas tersendiri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 DIS: Dato’ Noordin Sulaiman yang bersara daripada jawatan Pegawai Kewangan Negeri tetap mendoakan kepimpinan negeri sedia ada terus memimpin Selangor.

Katanya, pentadbiran Kerajaan Negeri diterajui Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berada dalam kelasnya tersendiri, berbanding negeri lain.

“Saya berdoa kerajaan sedia ada dapat terus memimpin Selangor yang juga negeri paling kaya, di Malaysia dengan tadbir urus terbaik kerana apabila dibuat perbandingan, ternyata kepimpinan negeri sekarang berada dalam kelas tersendiri, terbaik dan sangat cemerlang.

“Ini kerana kita mendukung prinsip keterbukaan, kebertanggungjawaban serta objektif perkhidmatan disasarkan kepada rakyat.

“Saya berharap kerajaan sedia ada terus menerajui Kerajaan Negeri dan semua program yang menjurus kepada rakyat dapat dilaksanakan dan pelbagai lagi seperti program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk memberi makanan asas kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara Media Selangor, di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Berkongsi pengalaman melalui detik pertukaran kuasa, Noordin berkata, beliau merasai perbezaan pendekatan dan dasar setiap kepimpinan termasuk di bawah era Barisan Nasional (BN).

“Pada 2008, ketika kerajaan baru mengambil alih pentadbiran memang terdapat perbezaan dari segi pendekatan dan dasar, berbanding tahun sebelumnya. Hasil negeri juga dapat dipertingkatkan.

“Kemudian pada 2014, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai pendekatan lebih dekat dengan rakyat sama ada aspek program mahupun dasar,” katanya.