Categories
SUKANKINI

Piala AFC: Tok Gajah akhirnya terima padah

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Pahang akhirnya menerima padah apabila dilarang memohon Lesen Kelab Bolasepak Asia (AFC) selama dua tahun.

Larangan itu berkuat kuasa selepas pasukan terbabit enggan mewakili negara ke pertandingan Piala Konfederasi AFC musim depan, lapor BHOnline.

Ia membabitkan permohonan, pada 2018 dan 2019, sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah tidak akan mewakili negara ke Piala AFC 2019 dan 2020.

Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftarkan pasukan ke pertandingan Piala AFC musim depan.

Mengikut peruntukkan statut FAM, Artikel 14 Status FAM – obligasi ahli menuntut pasukan mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan FIFA, AFC dan FAM, pada setiap masa.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, pihaknya bagaimanapun masih memberi peluang kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk membuat rayuan.

“Walaupun sudah diarahkan FAM melalui surat bertarikh 24 November lalu, (Pahang) melanggar Artikel 14 Status FAM ekoran enggan atau gagal mendaftarkan pasukan untuk bermain dalam Piala AFC 2018.

“PBNP dilarang memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun iaitu pada 2018 dan 2019 bagi menyertai pertandingan kelab AFC untuk 2019 dan 2020.

“PBNP juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya dalam kenyataan media.

Sebelum ini, Pahang dipilih mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFC musim depan bagi menggantikan Kedah, namun menolak pelawaan itu dengan alasan mahu fokus kepada pertandingan domestik.