Categories
NASIONAL

Racun berjadual dikesan dalam 4 produk kosmetik

SHAH ALAM, 22 DIS: Orang ramai dinasihat menghentikan penggunaan empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang menggunakannya diminta segera mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

Katanya, setakat ini kedua produk Progressive Mix Industries iaitu Nuriz Shoppe-Uv Pearl Cream dan Nuriz-D’Solve dikenal pasti mengandungi merkuri.

“Produk Aura Gorgeous Beauty & Healthy iaitu Aura Gorgeous Night Cream juga dikesan mengandungi merkuri, manakala produk Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd iaitu NV Anti Blemish Toner 1 pula mengandungi hydroquinone dan tretinoin,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau memberi amaran kepada penjual dan pengedar kosmetik berkenaan supaya menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta.

Dr Noor Hisham berkata, mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Penjual diingatkan penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Katanya, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Kedua bahan racun itu yang sering digunakan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan, boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, pedih, menggelupas dan hipersensitif.

“Hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV serta meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, merkuri adalah bahan toksik yang perlu dielakkan sama sekali dalam apa juga produk kerana ia boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan, pada buah pinggang serta sistem saraf.

“Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik itu dan kemudian memasukkan jari mereka ke dalam mulut.

“Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh e-mel kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di [email protected] atau menghubungi talian 03-78835400.

Pengguna dan orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang http://npra.moh.gov.my/