Categories
EKONOMI

Ringgit lemah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 20 DIS: Ringgit dibuka lebih rendah hari ini selepas ditutup mendatar selama dua hari sebelum ini disebabkan faktor luaran, terutama dari Amerika Syarikat (AS), yang membendung permintaan terhadap nota tempatan.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.0800/0850 daripada 4.0790/0830 penutup semalam.

Bagaimanapun, pada jam 9.09 pagi, ia melantun kepada 4.0770/0800 berbanding dolar AS.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata ringgit dipacu momentum dolar AS semalaman.

“Mengambil kira dolar AS didagangkan secara positif daripada kedua-dua reformasi cukai dan pulangan bon AS lebih tinggi, pelabur kurang berminat membeli unit tempatan buat masa ini.

“Tetapi ringgit kekal selesa pada jajaran semasa dan kestabilan adalah positif sebenar pada pandangan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

SUMBER: BERNAMA