Categories
SELANGOR

Tingkat kualiti infrastruktur jalan raya demi keselesaan pengguna

OLEH SABIRAH AZIZ

BANGI, 15 DIS: Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan kualiti infrastruktur jalan raya demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia termasuk menambah baik aspek kualiti penyelenggaraan jalan, jangka hayat jalan dan pengurusan aset jalan yang efektif.

“Antara usaha dijalankan adalah menaik taraf Jalan Bangi Lama bermula dari pekan Bangi Lama ke hentian Bas Kajang membabitkan pelebaran jalan kepada empat lorong.

“Kemudahan ini sekali gus dapat menampung kapasiti kenderaan yang semakin bertambah terutama dari pekan Semenyih, Sepang, Dengkil yang menuju ke Bandar Baru Bangi, Kajang dan Putrajaya.

“Diharapkan, ia dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada pengguna jalan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan projek menaik taraf laluan B17 (Jalan Bangi Lama/Jalan Reko), di sini, baru-baru ini.

Zaidy berkata, projek yang siap pada Ogos lalu itu membabitkan kerja menaik taraf dan melebarkan laluan B17 dari dua laluan kepada empat laluan sepanjang 5.5 kilometer, termasuk melebarkan jambatan Sungai Tangkas dan jambatan Sungai Rekoh.

“Selain itu, skop projek ini turut merobohkan jambatan lama, membuat kerja saliran, lampu jalan, pengambilan semula tanah dan pengalihan utiliti Telekom, Tenagan Nasional Berhad (TNB) serta Air Selangor,” katanya.

Projek dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu bermula pada 2 November 2012 dan siap, pada 30 Ogos lalu di bawah kontraktor Jurumart Sdn Bhd dan direka bentuk perunding Khairi Consult Sdn Bhd.