Categories
KENYATAAN MEDIA

Kekalkan BN boleh bawa kehancuran

Keterdesakan dan panik Umno BN makin terserlah sejak akhir-akhir ini dengan ucapan-ucapan dan kenyataan oleh pemimpin mereka.

Pada mulanya, saya jangkakan ia akan surut setelah lebih seminggu selesainya Konvensyen Pakatan Harapan dan pengumuman Mufakat Pakatan Harapan, namun jelas ia masih menjadi buah mulut mereka.

Pada 19 Januari lalu di Pensiangan, Sabah, Dato’ Seri Najib Tun Razak memberi ucapan berapi-api memercikkan ugutan dengan penuh emosi agar rakyat di sana jangan menukar kerajaan kerana jika silap menukar kerajaan, negeri atau negara boleh hancur.

Beliau membawa kembali modal kestabilan politik dan keamanan sebagai modal kempen. Katanya, rakyat di negara ini tidak boleh leka atau ambil mudah terhadap kestabilan politik yang dikecapi selama ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau turut menyindir pembangkang apabila menamakan seorang yang berumur 93 tahun sebagai perdana menteri.

Beberapa hari sebelum itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan mengugut guru dan pegawai kerajaan yang menyokong pihak pembangkang bahawa mereka akan dipecat daripada jawatan. Beliau memberi peringatan kepada guru di negara ini supaya berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

“Kita tidak benarkan mereka bekerja dalam agensi kerajaan ketika menjadi pembangkang atau memegang jawatan parti,” katanya. “Bagaimanapun, katanya, mereka yang menyertai dan memegang jawatan dalam parti pemerintah dibenarkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Lanjutan kecaman orang awam, Menteri berkenaan menafikan dakwaan amaran tersebut. Malah pasukan komunikasi Kementerian Pendidikan cuba ‘cover line’ dengan menyatakan bahawa Menteri hanya berniat memberi nasihat seperti seorang ‘bapa’.

Tetapi yang anehnya, pada 3 Oktober tahun lalu, Setiausaha Agung Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap dengan penuh semangat di hadapan guru di Presint 14 Putrajaya, menjemput dan menyambut baik guru yang ingin aktif dalam politik, termasuk menjadi ketua bahagian, ketua cawangan atau bertanding dalam mana-mana jawatan dalam Umno.

Ucapan dan kenyataan mengelirukan begini tidak akan keluar melainkan apabila keadaan sudah terdesak. Amaran, ugutan dan ancaman kepada penjawat awam bukan perkara atau modal baru parti pemerintah. Apabila dekat musim pilihan raya maka penjawat awam akan selalu diingatkan tentang tanggungjawab dan siapa ‘boss’ mereka sama ada secara halus atau kasar.

Rakyat akan sentiasa diingatkan tentang kestabilan, keamanan dan pembangunan sebagai langkah meraih sokongan. Ancaman-ancaman seperti komunis, negara hancur dan huru-hara juga seringkali diungkitkan.

Seiring dengan itu, kekeliruan antara kerajaan dan parti pemerintah seringkali dimainkan. Dalam erti kata lain, kerajaan dan parti pemerintah dianggap sama. Ketaatan dan khidmat dalam kerajaan dianggap sama seperti ketaatan dan khidmat kepada parti pemerintah, apatah lagi di negara kita parti pemerintahnya sudah berkuasa bagi tempoh yang terlalu lama.

Sebenarnya, jika diteliti, penjawat awam termasuk guru-guru telah lama berganjak daripada pemikiran dan budaya lapuk bahawa parti pemerintah itu kerajaan dan kerajaan itu parti pemerintah. Itulah antara sebabnya pembangkang telah berjaya menafikan dua pertiga majoriti di Parlimen sejak Pilihan Raya Umum (PRU)-12 2008 dan memenangi beberapa negeri.

Tidak pula kedengaran kehancuran atau huru-hara di Negeri-negeri Selangor atau Pulau Pinang sehingga menyebabkan rakyat lari atau keluar dari negeri berkenaan. Tambah maju dan mesra rakyat lagi ada.

Hakikatnya, kehancuran negara bukan berlaku akibat pertukaran kerajaan, sebaliknya mengekalkan kerajaan parti pemerintah Umno BN yang boleh menyebabkan negara terjerumus ke gaung kehancuran.

Biarlah kita jelas bahawa dalam mana-mana sistem pemerintahan negara, meskipun pelantikan Perdana Menteri, Menteri kabinet dan sewaktu dengannya dianggap sebagai sebahagian daripada kerajaan parti pemerintah, namun perubahan pelantikan itu tidak sewajarnya menjejaskan perkhidmatan oleh penjawat awam.

Kerajaan dan penjawat awam tetap kekal walaupun berlaku peralihan parti pemerintah. Ini kerana antara peranan utama penjawat awam ialah untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Harus diingat, dalam sistem demokrasi dan pilihan raya negara, mana-mana warganegara Malaysia yang layak mengundi termasuk penjawat awam bebas untuk memilih wakil rakyat mereka daripada mana-mana parti yang bertanding.

Justeru, tidak salah untuk berbeza pandangan daripada parti pemerintah malah menjadi tanggungjawab mereka untuk membetulkan keadaan jika berlaku kesalahan, kesilapan atau kepincangan sama ada dari dalam atau dari luar. Pokok pangkalnya, suruhan amar makruf nahi mungkar atau berpesan-pesan dengan hak dan kesabaran dilakukan atas prinsip besar keadilan, kebenaran dan pertanggungjawaban.

Parti-parti politik merupakan entiti rakyat yang ingin meraih kuasa atas matlamat dan perjuangan tertentu. Kejayaan parti politik dalam pilihan raya ialah suara terbanyak rakyat berdasarkan prinsip, pegangan dan janji. Jika menang, maka tidak kira sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan atau lain-lain gabungan, mereka wajib menggalas tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Tidak ada sebuah parti politik pun yang boleh mendakwa kerajaan itu seolah-olah milik mereka walaupun parti itu memperolehi majoriti untuk menguasai kerajaan. Kerana parti politik bukanlah kerajaan. Parti politik hanya mampu menjadi parti yang memerintah dalam sesebuah kerajaan.

Justeru, meskipun parti pemerintah dan kerajaan saling berkait terutama dalam pelaksanaan dasar dan pertadbiran negara, namun menjadi tanggungjawab wajib bagi kerajaan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan awam untuk kesejahteraan masyarakat. Contohnya penyediaan prasarana seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik; penjagaan kesihatan asas, perumahan subsidi, pendidikan awam dan kemudahan awam yang lain.

Sesiapa pun yang menjadi kerajaan, selain menjaga ekonomi dan pembangunan negara, memang menjadi amanah dan tugas mereka untuk menyediakan setiap prasarana yang kondusif demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai kerajaan parti pemerintah, mereka wajib menguruskan dan mentadbir negara dengan adil, saksama dan bertanggungjawab bersama-sama dengan penjawat awam. Parti pemerintah tidak boleh bertindak sesuka hati menyalahgunakan kuasa, kedudukan, wang, agensi kerajaan dan penjawat awam untuk kepentingan peribadi atau parti mereka.

Sekiranya parti pemerintah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, maka rakyat dan penjawat awam boleh menyokong malah membantu menjayakan agenda parti pemerintah.

Tetapi jika sebaliknya berlaku, yakni parti pemerintah melakukan rasuah, mencuri harta rakyat dan negara, mengamalkan kronisme, menipu rakyat dan membebankan kehidupan rakyat maka rakyat wajib menukar kerajaan tersebut malah penjawat awam wajar bertindak membetulkan keadaan kerana ‘tuan’ mereka bukan parti pemerintah tetapi rakyat. Negara ini milik kita bersama dan wajib dibina semula di atas asas yang betul.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat