Categories
NASIONAL

Kos tunai haji kekal RM9,980

SHAH ALAM, 5 JAN: Pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) pada kadar lima peratus yang diperkenal Kerajaan Arab Saudi tidak memberi impak secara langsung kepada jemaah haji muassasah kali pertama.

Justeru, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata, kos bayaran haji kekal RM9,980.

“TH sedia maklum dan mengambil kira faktor cukai nilai tambah terbabit dalam pengiraan kos operasi musim haji 1439 Hijrah/2018.

“Namun, keseluruhan subsidi haji yang akan ditanggung TH dijangka meningkat kepada RM400 juta,” katanya dalam kenyataan.

Johan berkata demikian mengulas rungutan dan kekeliruan orang ramai berkenaan pelaksanaan VAT dan kesan terhadap kos operasi haji serta jemaah, di negara ini.

VAT diperkenalkan di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) buat kali pertama, pada 1 Januari lalu, dengan lima peratus dikenakan terhadap kebanyakan barangan dan perkhidmatan.

TH dilaporkan menanggung lebih dari RM1 bilion subsidi haji, sejak 2009.