Categories
NASIONAL

Mangsa banjir di Membakut bertambah

SHAH ALAM, 5 JAN: Jumlah mangsa banjir di Membakut, Sabah terus meningkat kepada 626 orang dari 218 keluarga, setakat jam 8 pagi ini.

Ia meningkat berbanding 590 orang dari 207 keluarga, malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyalamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, peningkatan itu menyebabkan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, di Bangunan Kafa Membakut.

“Seramai 463 mangsa dari 162 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah St Patrick dan 127 orang dari 45 keluarga kini berada di PPS Dewan Serbaguna Membakut.

“Selebihnya seramai 36 orang dari 11 keluarga ditempatkan di Bangunan Kafa Membakut,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, JBPM Sabah berkata, 26 kampung di daerah itu masih terjejas, manakala lapan jalan raya tidak dapat dilalui ekoran ditenggelami air.

Paras air Sungai Membakut juga masih berada di paras bahaya iaitu 6.13 meter, setakat jam 6.48 pagi tadi.