Categories
SELANGOR

PSKJS perlu dana dan sumber tenaga selamatkan kucing jalanan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 JAN : Pertubuhan Sahabat Kucing Jalanan Selangor (PSKJS) memerlukan dana dan sumber tenaga daripada orang awam untuk bersama menjayakan misi dan visi membela nasib kucing jalanan.

Pengerusinya, Mohd Rosli Ariffin berkata, PSJKS komited meneruskan visi dan misi membantu dan melindungi kucing jalanan.

“Sudah lebih dua tahun pertubuhan ini membantu membela nasib kucing jalanan, namun usaha berkenaan seperti tidak berkesudahan dan bilangan haiwan itu dibuang saban hari semakin meningkat.

“Terlalu banyak persepsi negatif oleh masyarakat dan pihak berkuasa terhadap kucing jalanan, malahan ada yang melabelkan ia sebagai liar dan makhluk perosak,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Rosli berkata, PSJKS hanya memfokuskan kepada kes tertentu atau kritikal sahaja seperti kucing sakit, cedera atau bunting memandangkan pertubuhan berkenaan mempunyai kekangan kewangan dan sumber tenaga.

Beliau berkata, pada masa sama, PSJKS memerlukan saranan daripada masyarakat untuk bersama prihatin dengan nasib kucing jalanan.

Terdahulu, PSJKS adalah agensi yang bertanggungjawab menguruskan pusat perlindungan kucing di Sungai Buah, Dengkil dan kini terdapat lebih 700 kucing jalanan dijaga oleh ahli di rumah masing-masing.

Malah, PSJKS turut membantu membawa kucing jalanan yang sakit ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

Selain itu, pertubuhan itu juga bertanggungjawab untuk memandulkan kucing jalanan secara berperingkat dan membuka gerai bagi membuat taklimat kesedaran dan memberi khidmat nasihat berkenaan kucing jalanan.

Bagi yang ingin menyalurkan dana boleh membuat bayaran di akaun CIMB 8602398474 – Sahabat Kucing Jalanan.