Categories
NASIONAL Ringgit

Ringgit meningkat, dolar AS lemah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Ringgit dijadualkan meningkat berbanding dolar AS semalam yang ditutup pada 3.911 iaitu paras terakhir dilihat, pada Mei 2016.

Setakat jam 6 petang semalam, ringgit ditutup pada 3.9110/9140 berbanding dolar AS daripada 3.9250/9280 pada 23 Januari lalu..

Ketua Perdagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata, ia terjadi kerana peniaga kini kurang minat terhadap dolar AS, sekali gus mendorong ringgit di bawah paras 3.92 dengan sokongan dalam jangka terdekat, pada 3.90.

“Dengan sentimen dolar AS dalam pasaran, kita perlu menolak paras ujian, terutama jika harga minyak global terus kukuh,” katanya lapor BERNAMA.

Berhubung Indeks Harga Pengguna yang meningkat kepada 3.5 peratus pada Disember 2017 dan 3.7 peratus bagi tahun penuh 2017, Innes menjangka, Bank Negara Malaysia akan menaikkan Kadar Dasar Semalamannya (OPR), hari ini.

“Susulan harga minyak yang kukuh akan membawa kepada inflasi yang tinggi, pada 2018. Kami menjangka kadar daripada bank pusat akan terus di hadapan keluk inflasi,” katanya.

Pada 2017, bank pusat mengekalkan OPR, pada tiga peratus.

Sementara itu, keyakinan terhadap ringgit turut dibantu data jumlah perdagangan tinggi, yang meningkat 20.8 peratus, dari Januari hingga November 2017.

Namun, Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 2.9803/9832 dari 2.9737/9771 pada 23 Januari lalu dan susut berbanding yen kepada 3.5658/5695 dari 3.5466/5499 semalam.

Ia berkurangan berbanding euro kepada 4.8242/8295 dari 4.8026/8079 dan turun berbanding pound British kepada 5.5110/5168 dari 5.4738/4788 pada 23 Januari lalu.