Categories
KENYATAAN MEDIA

Tahun baru, kerajaan baharu

1. Selamat tinggal 2017 dan selamat datang 2018. Tahun baru diiringi dengan azam dan harapan baru. Begitulah suasana setiap kali tahun baru.

2. Tetapi apakah mungkin tahun baru kali ini melahirkan kerajaan yang baharu? Tahun 2018 tahun Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 wajib diadakan. PRU-14 mesti diadakan tahun ini, tidak lewat daripada Ogos.

3. Tahun 2018 juga tahun Anwar Ibrahim bakal dibebaskan. Dijangka bulan Jun. Meskipun terpenjara sebagai seorang tahanan politik, pengaruhnya tetap dirasai sebagai pencetus Reformasi dan pengislahan negara. Kemunculannya semula dalam kancah politik sudah tentu memberi kesan positif kepada lanskap politik negara.

4. Di samping itu, momentum Pakatan Harapan sebagai pesaing kuat kepada Umno BN sudah dirasai. Gabungan pimpinan berpaksikan rakyat tidak hanya berpencak silat atas pentas politik tetapi berpijak di bumi bertuah bersama rakyat berbilang lapisan masyarakat, agama dan kumpulan etnik.

5. Dengan kesatuan politik, kepimpinan dan pengalaman dalam gabungan pembangkang kali ini, saingan sengit dijangka berlaku dalam PRU-14.

6. Jika berdasarkan ini, tahun 2018 mungkin tahun terpenting untuk Malaysia. Adakah kekal Umno BN atau naik kerajaan baharu Pakatan Harapan?

7. “Saya pasti pilihan raya kali ini akan menunjukkan rakyat bergerak jauh ke depan bersama Pakatan Harapan meninggalkan pola pengundian tradisi yang memilih parti kepada isu rakyat. Besar harapan daripada rakyat ialah untuk melihat perubahan pada sistem dan kepimpinan negara supaya Malaysia dapat diselamatkan,” ujar Dato’ Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KEADILAN.

8. Menurut Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang, Presiden Pakatan Harapan dan Presiden KEADILAN, tahun baru hadir bersama peluang melakukan perubahan.

9. Katanya, tahun 2017 memperlihatkan segala kepincangan dan kebobrokan pemerintah memuncak.

10. Meskipun peringatan daripada pembangkang dimomok sebagai tohmahan dan fitnah sejak sebelum PRU-13 hingga sekarang (perutusan 2018 Perdana Menteri mendakwa pembangkang mensabotaj ekonomi Malaysia dengan membuat tuduhan liar dan palsu, berbohong dan mengkhianati Malaysia), namun kepincangan dan kebobrokan pemerintah baik dari sudut urus tadbir, ekonomi, perundangan mahupun demokrasi berparlimen amat jelas.

11. Lebih malang lagi, menurut Dr Wan Azizah, ia menjadi bebanan teramat berat yang dipikul oleh rakyat.

12. Justeru menurut Dr Wan Azizah, 2018 hadir sebagai peluang untuk membuat perubahan yang tidak boleh disia-siakan.

13. “Peluang untuk kita memulihkan dan mengembalikan negara ini di landasan yang betul. Peluang untuk melihat Malaysia menjadi negara yang lebih baik, lebih adil dan lebih saksama untuk semua rakyatnya,” tegasnya.

14. Jika ikut kata Dato’ Seri Najib Abdul Razak pula, tahun 2017 dianggap tahun yang banyak membawa pencapaian terutamanya dari segi ekonomi dan pembangunan. Ini termasuklah pencapaian dalam arena sukan dan penempaan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

15. Meskipun menghadapi cabaran dan tragedi dalam tahun 2017, katanya, ia juga menandakan pencapaian berbeza, kerana ia adalah tahun di mana usaha telah digandakan untuk memastikan tadbir urus yang baik dalam semua sektor.

16. Malah kata beliau lagi, adalah wajar dan menjadi hak rakyat Malaysia untuk mengetahui apa yang telah berlaku, seperti mana wajar untuk SPRM menunjukkan bahawa mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan.

17. “Kita bertegas menyatakan bahawa amalan ini perlu berakhir. Kelemahan tadbir urus, sama ada dalam sektor swasta atau sektor awam, tidak boleh diterima. Ia mesti disiasat dan diperbetulkan,” tegasnya.

18. Menurutnya, tahun 2018 merupakan tahun optimistik buat Malaysia dengan ekonomi yang berkembang dan langkah membangunkan negara dan memastikan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan rakyat Malaysia diteruskan.

19. Menarik kan? Di samping beberapa perbezaan ketara dalam pandangan antara Dr Wan Azizah dan Dato’ Seri Najib terhadap pencapaian 2017, namun kedua-duanya mahukan Malaysia yang lebih baik.

20. Matlamat “Malaysia yang lebih baik” tidak boleh disangkal oleh sesiapa jika dia warga negara Malaysia. Tidak ada warga negara yang tanah tumpah darahnya Malaysia, mahukan “Malaysia yang lebih buruk”.

21. Soalnya ialah bagaimana matlamat itu akan tercapai, atas neraca apa ia diukur dan siapa yang boleh dipercayai untuk membawanya? Inilah barangkali perbezaan yang ketara iaitu kefahaman, pendekatan dan pelaksana untuk mencapai matlamat.

22. Dalam pada Dato’ Seri Najib mahu melaksanakan matlamat itu dan bertegas tidak boleh menerima kelemahan tadbir urus serta mahu melaksanakan langkah wajar memperbaikinya, namun perkembangan kes-kes pecah amanah, rasuah, penipuan dan salah guna kuasa yang melibatkan agensi dan entiti kerajaan terus meningkat. Ia bukan sahaja menjejaskan imej dan nama baik negara, malah turut memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhannya.

23. Dan ia jelas bukan tuduhan liar dan palsu oleh pembangkang.

24. Apa jadi dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan Dato’ Seri Najib sendiri? Di mana letaknya hak rakyat untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku hinggakan Parlimen pun dilarang membahasnya?

25. Lihat sahaja kes yang melibatkan dana awam seperti KWAP, Tabung Haji dan lain-lain. Lihat kes Felda. Di mana pembelaan untuk peneroka? Selain kerugian, sepanjang tahun 2017 sahaja, terdapat banyak kes yang melibatkan kepincangan tadbir urus dalam Felda.

26. Di hujung 2017, Felda melalui Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui Felda kehilangan tiga harta tanah yang bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak! Ia dikatakan bertukar hak milik melalui transaksi diragui sejak tahun 2015.

27. Baru-baru ini pula, penipuan ke atas Kastam telah menyebabkan Malaysia kehilangan hasil cukai lebih RM2.5 bilion sejak tiga tahun lalu. Menurut laporan The Star, tahun 2017 sahaja, sejumlah RM1.06 bilion tidak terkutip, berserta barangan bernilai RM731 juta yang diseludup masuk ke dalam negara.

28. Dalam pada Dato’ Seri Najib mendakwa ekonomi berkembang pesat dan projek infrastruktur seperti MRT satu kejayaan besar, namun kos sara hidup dan harga barang terus meningkat. Cukai GST dan harga minyak yang tidak menentu turut menjejaskan terutamanya rakyat terbawah.

29. Laporan Bank Dunia mengenai ekonomi negara yang dipetik Dato’ Seri Najib juga sebenarnya telah melaporkan bahawa keluarga yang miskin ialah yang paling teruk terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Ia tambah buruk dengan kurangnya perumahan mampu milik.

30. Sedang saya sedar kerajaan parti pemerintah dan pimpinan tidak maksum dan tidak sempurna, namun mereka tetap perlu dipertanggungjawabkan. Soal negara dan rakyat amat berkait rapat dengan soal amanah dan pertanggungjawaban.

31. Saya percaya apa yang ingin dilihat oleh rakyat umumnya ialah kesungguhan untuk melaksanakan apa yang dikata, mengotakan apa yang dijanji, dan memikul amanah dengan penuh teliti. Jika Pakatan Harapan ambil alih, perkara ini juga akan dituntut.

32. Justeru, usahlah mudah berbangga dan angkuh dengan kejayaan. Dan usahlah mudah menyalahkan pembangkang dengan tuduhan yang boleh menikam diri sendiri. Muhasabah dan cermin diri sendiri di tahun baru ini. Ikut resmi padi.

33. Satu undi untuk Harapan hari ini bermakna langkah pertama ke arah kerajaan baharu yang lebih baik.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat