Categories
EKONOMI SELANGOR

Revolusi baru bakal lonjak Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG, 9 FEB: Selangor bersedia melaksanakan inovasi baru menerusi Internet of Things (IOT), Revolusi Perindustrian Keempat (industri 4.0) dan industri teknologi kewangan (fintech) mulai tahun ini bagi melonjakkan sistem fizikal siber mencakupi keupayaan manusia, mesin dan kaedah teknologi baharu.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, pelaksanaan inisiatif itu turut mendapat rangsangan dan sokongan baik daripada pelbagai pihak, sekali gus menjadikan gagasan ‘Smart State’ di landasan tepat.

Katanya, Selangor terus ke hadapan dalam mengaplikasi ekonomi digital dalam meningkatkan platform e-pembayaran ke arah masyarakat tanpa tunai (cashless society) menerusi inisiatif itu juga.

“Inovasi ‘cashless society’ yang akan diterokai membolehkan rakyat di negeri ini berbelanja tanpa membawa fizikal tunai dan transaksi hanya berlaku menerusi telefon bimbit.

“Ia juga akan dapat melihat bagaimana penggunaan aplikasi yang membolehkan rakyat membuat bayaran lesen berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), cukai tanah dan sebagainya dengan lebih mudah,” katanya kepada SelangorKini selepas Forum Selangor Synergies 2, di Hotel Saujana, di sini.

Dr Fahmi berkata, ketika ini usaha merealisasikan ‘cashless society’ itu dilaksanakan menerusi e-pembayaran program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Katanya, Kerajaan Negeri turut membina landasan kepada pemain industri mencipta aplikasi baru itu dengan menawarkan hadiah lumayan.

Dalam forum itu, Dr Fahmi turut berkongsi inisiatif pelaksanaan yang sudah dan akan dilaksanakan SSDU.

Antara panel yang turut menyertai forum yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Presiden PT Siemens Indonesia, Datuk Prakash Chandran serta Profesor Kejuruteraan Kimia Universiti UCSI, Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim.

Selain itu, panel forum berkenaan turut menampilkan rakan pengurusan Mohd Ridza & Co, Mohamed Ridza Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi SIRIM Technology Venture, Ajmain Kassim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala selaku moderator.

Selangor Synergies 2: Emerging Technologies in Selangor membincangkan teknologi baru yang bakal dicipta bagi meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai hab pelaburan.

Forum yang dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan kerjasama Kumpulan IBR Asia dan turut membincangkan beberapa inovasi juga penemuan teknologi baru yang sedang dibangunkan juga diterima Selangor.

Terdahulu, SSDU melancarkan aplikasi yang membolehkan pengguna Bas Smart Selangor boleh memuat turun aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) bagi mendapatkan maklumat 34 lokasi laluan Bas Smart Selangor, termasuk PJ City Bus.