Categories
NASIONAL

Tabung Haji umum hibah 6.25%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 FEB: Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan hibah atau bonus kepada pendeposit 4.50 peratus dan tambahan hibah haji 1.75 peratus kepada yang belum menunaikan haji, bagi tahun kewangan 2017.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia membabitkan pembayaran berjumlah RM2.7 bilion.

Katanya, bayaran hibah 6.25 peratus akan memberi manfaat kepada 93 peratus atau 8.7 juta pendeposit yang belum menunaikan ibadat haji.

“Bagi 600,000 pendeposit yang sudah menunaikan haji akan menerima hibah 4.50 peratus,” katanya ketika mengumumkan agihan hibah itu.

Jamil Khir berkata, pengagihan hibah itu mengambil kira pembayaran zakat sebanyak RM68 juta kepada semua pusat pungutan zakat negeri dan asnaf yang layak, di seluruh negara.

TH mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada tahun 2017 berbanding 2016 dengan pendapatan kasar meningkat RM1.1 bilion atau 31 peratus kepada hampir RM4.5 bilion berbanding tahun kewangan 2016 sebanyak RM3.4 bilion.

Untuk rekod, TH mengumumkan 4.25 peratus hibah tahunan dan tambahan hibah haji 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016 membabitkan pembayaran berjumlah RM2.88 bilion.

Pendeposit boleh mula menyemak pengkreditan hibah TH 2017, pada 12 Februari lalu.

TH juga merekodkan keuntungan bersih selepas zakat hampir RM2.8 bilion iaitu peningkatan RM0.3 bilion (13%) berbanding tahun 2016 sebanyak RM2.5 bilion,” katanya.

Sementara itu, anak syarikat TH turut menyumbang kepada pendapatan terbabit sebanyak RM1.1 bilion antaranya BIMB Holdings Berhad (RM706 juta), TH Properties Sdn Bhd (RM113 juta), Kumpulan TH Hotel & Travel (RM104 juta), TH Trust (RM82 juta), Kumpulan LTH Property Holdings Ltd (RM82 juta) dan TH Plantations Berhad (RM50 juta).