OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 6 MAC: Kedah akan meneruskan perjuangan mempertahankan kejuaraan Shopee Piala FA 2018 apabila diundi bertemu finalis tahun lalu, Pahang di Stadium Darul Makmur, pada pusingan ketiga.
Pertembungan dua pasukan Unifi Liga Super itu pastinya menjanjikan persembahan menarik kerana Kedah berjaya menewaskan Pahang, 3-2 dalam perlawanan akhir, di Stadium Shah Alam, Mei tahun lalu.
Nasib berbeza buat tiga pasukan dari Lembah Klang apabila Kuala Lumpur akan bertemu Melaka United di gelanggang lawan, manakala PKNS FC pula diundi melayan kunjungan Kelantan, di Stadium Shah Alam.
Selangor pula akan kembali ke Kuala Terengganu bagi menghadapi Terengganu FC di pusingan ketiga selepas kali terakhir bertemu, pada 10 Februari lalu dalam perlawanan yang menyaksikan anak buah P Maniam tewas, 4-1.
Pendahulu Unifi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula akan bertemu UiTM FC di Shah Alam, sementara Felda United FC menanti kunjungan UKM FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.
Pulau Pinang akan bertemu juara edisi pertama Shopee Piala FA, Perak sementara PKNP FC menanti kunjungan Kuantan FA di Stadium Batu Kawan.
Majlis undian yang berlangsung di The Bee, Publika disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP), Kevin Ramalingam manakala Shopee pula diwakili Pengarah Urusan Serantau, Ian Ho dan dua Ahli Lembaga Pengarah FMLLP.
Perlawanan pusingan ketiga Shopee Piala FA 2018 akan dilangsungkan, pada 16, 17 dan 18 Mac ini.
Kredit Foto: FMLLP