Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

Yayasan Restu Selangor tumpuan pengajian Islam dunia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 MAC: Perkembangan positif pembangunan Yayasan Restu Selangor menyaksikan institut itu berpotensi diangkat sebagai gedung ilmiah terkemuka, di rantau ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abdul Latiff Mirasa optimis, institusi berkenaan akan terus memacu inisiatif penyelidikan keagamaan menerusi usaha penyalinan dan penyebaran al-Quran.

“Kompleks ini akan terus memainkan peranannya sehabis baik kerana kami percaya terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilaksanakan untuk mengangkat martabatnya sebagai pusat rujukan antarabangsa.

“Untuk perancangan awal, sudah ada keperluan meningkatkan pembangunan teknologi di kompleks ini bagi tempoh jangka panjang,” katanya pada sidang media di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, pagi ini.

Terdahulu, pembukaan institusi berkenaan dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pusat dakwah dan penyelidikan berteraskan Islam, pada 25 September 2003.

Sejak pembukaannya, pelbagai kejayaan diraih termasuk inisiatif penyalinan dan pengahislan terjemahan al-Quran kepada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Kazakh, Bahasa Hausa, Bahasa Khmer dan Edisi Jawi.

Pada masa sama, Abdul Latiff berkata, Yayasan Restu mempunyai pusat percetakan al-Quran terbesar di dunia, yang berperanan sebagai pusat penyelidikan, pentafisran, penterjemahan, penerbitan dan pengagihan al-Quran.

“Buat masa ini, kami dalam usaha mencetak penghasilan nashkah al-Quran sebanyak sejuta hingga tiga juta dalam tempoh setahun untuk diedarkan di seluruh dunia,” katanya.

Di peringkat Kerajaan Negeri sebelum ini, RM800,000 turut disalurkan bagi penganjuran pelbagai program, seminar dan pameran keislaman.

Sementara itu, orang awam boleh mengambil peluang melawat kompleks berkenaan sempena penganjuran Pameran Rehlah Nabawiyyah, bermula Mac hingga Julai ini.

Pameran berkisarkan perjalanan hidup Rasulullah SAW itu bakal menyajikan pengalaman sebenar melihat artifak kehidupan anbia terdahulu.

Tiket terjual pada kadar RM20 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.