OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 12 APR: Akta Anti Berita Tidak Benar yang diluluskan Dewan Negara hanya menakutkan rakyat, tegas Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.
Katanya, pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) juga tidak mendapat jawapan pasti ketika sesi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) dilakukan sebelum ini.
“Setakat ini, tidak ada jaminan atau kesahihan yang diletakkan pada akta ini, adakah jika kita mempersoalkan 1MDB itu berita tidak benar? adakah jika rakyat atau mana-mana pemimpin KEADILAN mempertikaikan ekonomi Malaysia terjejas itu adalah berita tidak benar?, jadi apa sebenarnya yang dimaksudkan berita tidak benar ini, maka ia masih belum jelas.
“Rakyat juga tidak boleh berkongsi sebarang maklumat yang mereka perolehi, sekali gus menunjukkan bahawa akan adanya satu kuasa yang menyalahgunakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yangdigazetkan Dewan Negara, semalam.
Fahmi turut menyangkal kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, kononnya menyatakan akta itu tidak menyekat kebebasan bersuara sebaliknya bertujuan mengekang penularan berita tidak benar.
“Ini adalah bohong, akta ini sudah mewujudkan iklim ketakutan dalam kalangan media, ahli politik dan rakyat biasa.
“Akta ini juga muncul pada ambang Pilihna Raya Umum ke 14 (PRU14) dan sudah tentu pada masa ini rakyat menyatakan pelbagai pandangan tersendiri, namun sekarang hak bersuara mereka mungkin sudah disekat gara-gara takut ‘ditangkap’ jika salah cakap,” katanya.
Bagaimanapun, Fahmi menasihatkan orang ramai supaya tidak gentar ekoran KEADILAN yakin akan menawan Putrajaya, selepas PRU14.
“Jika KEADILAN menang, sudah tentu akta ini akan dihapuskan serta-merta,” katanya.
Sebelum ini, persidangan Dewan Rakyat meluluskan RUU terbabit menerusi suara majoriti dengan pindaan pada Fasal 4 bagi menggantikan perkataan ”diketahuinya” dengan perkataan ”niat jahat”.
Pindaan itu juga membabitkan pengurangan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada enam tahun, dalam Fasal 5.
RUU itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai apa-apa jenis penerbitan berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagian atau keseluruhannya, dalam apa-apa bentuk termasuk rencana, visual atau rakaman audio adalah palsu