Categories
SUKANKINI

Harimau Malaya baiki ranking dunia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 APR: Malaysia membaiki kedudukan dalam ranking bola sepak dunia apabila naik lapan anak tangga, di tempat ke-170.

Dalam senarai terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini, skuad Harimau Malaya mencatat peningkatan berbanding kedudukan sebelumnya, pada tangga ke-178.

Malaysia dibimbing ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, selepas menggantikan Nelo Vingada, pada Disember tahun lalu, terbabit dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Bukit Jalil, dengan beroleh keputusan seri 2-2 ketika bertemu Mongolia, pada 22 Mac dan menang ketika membelasah Bhutan 7-0, pada 1 April lalu.

Namun, Malaysia dikalahkan Lebanon 1-2, pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Sports City, Beirut, pada 28 Mac lalu.

Kemenangan dicatat ketika berdepan Bhutan adalah yang pertama sejak kali terakhir melakukannya apabila menundukkan Kemboja, 3-2 dalam Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar, pada 20 November 2016.

Dalam senarai negara Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga ketujuh di belakang Filipina (113), Thailand (122), Myanmar (135), Indonesia (162), Nepal (162) dan Kemboja (168).

Sementara itu, juara Piala Dunia 2014, Jerman dan Brazil mengekalkan kedudukan, pada tangga pertama dan kedua.

Manakala Belgium dari tangga kelima, naik ke tempat ketiga menggantikan Portugal yang turun satu anak tangga (keempat) diikuti Argentina (kelima).