Categories
SELANGOR

Kerjasama SSDU dan AWS upayakan SME

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bersama Amazon Web Services (AWS) menerusi program AWS Cloudstart, AWS Educate dan AWS Academy dijangka dapat mengupayakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), sektor pendidikan serta pembangunan aplikasi, di Selangor dengan kemahiran ‘Cloud Computing Technology’ yang diiktiraf dunia.

Pengarah SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, tiga komponen pembangunan itu akan mengupayakan SME Selangor ke arah Revolusi Industri 4.0 menggunakan Internet of Things, pendidikan berasaskan teknologi maklumat dan pembangunan aplikasi yang diiktiraf dunia.

“Di Selangor, terdapat lebih 180,000 pengusaha SME. Menerusi program AWS Cloudstart, SME Selangor bakal diupayakan dengan kemahiran membangunkan aplikasi baru berdasarkan piawaian dan protokol antarabangsa.

“Banyak sinergi boleh diwujudkan untuk membantu pengusaha SME dengan produk tempatan baik dapat dipasarkan dengan lebih meluas ke seluruh dunia” katanya ketika ditemui selepas perbincangan bersama AWS, di Ibu Pejabat SSDU, di sini.

Dr Fahmi berkata, pihaknya mensasarkan 500 pengusaha SME akan dibabitkan di bawah program AWS Cloudstart, pada tahun pertama perlaksanaanya.

Pada masa sama, Dr Fahmi berkata, kerjasama menerusi program AWS Academy bakal menghasilkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam bidang ‘Cloud Computing’.

Katanya, ia akan dapat menarik minat pelabur asing, terutama daripada sektor berasaskan teknologi dan perisian untuk bertapak, di Selangor.

Selain itu, Dr Fahmi juga mahu membangunkan hab aplikasi bagi menggabungkan semua aplikasi Kerajaan Negeri sedia ada di dalam landasan yang akan membolehkan Big Data Analytics dilakukan.

“Ia untuk menjana polisi negeri yang lebih baik dan memantau keberkesanan beberapa inisiatif di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat yang sedang dijalankan,” katanya.

Terdahulu, SSDU dilantik sebagai Organisasi Pembangunan Ekonomi (EDO) AWS pertama di rantau Asia.

Lantikan itu dibuat AWS yang berpengkalan di Amerika Syarikat selepas melihat keupayaan, pada SSDU juga potensi Selangor sebagai pasaran baru teknologi ‘Cloud Computing’ AWS untuk rantau Asia.