Categories
SELANGOR

Selangor dahului inisiatif bantu petani

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 APR: Kerajaan Negeri mendahului inisiatif Kerajaan Persekutuan membantu pelbagai aspek kebajikan petani dan pesawah di negeri itu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, antaranya RM8.5 juta untuk serangan hawar daun (BLB) dan penambahan RM200,000 bagi membantu hampir 9,000 pesawah terjejas.

Katanya, keperluan terhad pentadbiran negeri tidak menghalang Kerajaan Pakatan terus melaksanakan agenda berkebajikan kepada golongan tani negeri.

“Malah, bantuan ini disampaikan lebih awal daripada Kerajaan Persekutuan dengan RM960 per lot berbanding Kerajaan Persekutuan yang hanya menyerahkan RM500 per lot.

“Walaupun pada dasarnya tanggungjawab memastikan kebajikan pesawah dan petani di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Selangor turut konsisten membantu mereka.

“Jadi, bantuan yang kita sampaikan bukan sahaja cepat dan mendahului Kerajaan Persekutuan tetapi lebih tinggi dan membantu golongan tani,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM26 juta bagi pembiayaan industri pertanian dengan RM12.94 juta diperuntukkan untuk peningkatan produk.

Ia termasuk penambahan pengeluaran tanaman padi, kelapa, buah-buahan, sayuran, herba, florikultur, akuakultur dan ternakan.

Jumlah berkenaan meliputi nilai perbelanjaan Belanjawan Negeri bagi tempoh 2018.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberdayaan nelayan, petani, penternak dan pesawah melalui program latihan dan bantuan peralatan dengan peruntukan RM7.1 juta setahun.