Categories
NASIONAL

Gani Patail ketuai pasukan siasat dan kesan 1MDB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 MEI: Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diketuai mantan Ketua Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dibentuk bagi menjalankan siasatan terperinci terhadap skandal berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab terhadap keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku serta penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam juga luar negara.

“Pasukan khas ini juga bertanggungjawab mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguat kuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, kerajaan berharap penubuhan pasukan khas dengan pembabitan pelbagai agensi penguat kuasaan berupaya mengembalikan maruah negara yang tercemar.

Katanya, langkah itu juga diambil bagi memastikan wang dan aset rakyat Malaysia dikembalikan ekoran skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB.