Categories
AGAMA SELANGOR

JAIS tahan 6 individu tidak puasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SUNGAI BESAR, 23 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan enam individu tidak berpuasa, setakat ini dalam Operasi Tidak Menghormati Bulan Ramadan (OPTIMER).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, ia membabitkan penahanan tiga individu dari daerah Petaling dan tiga dari daerah Klang.

“Lebih mendukacitakan, masih terdapat beberapa orang Islam tidak menghormati bulan Ramadan dengan sengajanya.

“Buktinya, pihak kami menahan enam orang tidak berpuasa dalam OPTIMER, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, penyampaian sumbangan Hari Raya 1439H serta perasmian masjid.

Pada masa sama, Haris menyeru umat Islam merebut peluang kehadiran bulan mulia itu dengan bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.

“Hari ini, terdapat segelintir umat Islam dilabelkan sebagai lemah dan lesu yang mungkin didorong sifat umat Islam itu sendiri, iaitu akidah mulai kering tanpa kehidupan, fikiran berpecah tanpa panduan dan ukhwah mula hambar tanpa kasih sayang.

“Oleh itu, mohonlah keampunan daripada Allah SWT dengan mempertingkat amalan dan jadikan Ramadan tahun ini ibarat Ramadan terakhir,” katanya.